KESIHATAN: Bahaya kurang minum air!

MENGANTUKNYA! Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata. Rasanya bukan sebab tidak cukup tidur sebab tiap-tiap malam aku tidur nyenyak,” rungut seorang rakan yang beberapa kali tersengguk-sengguk depan komputer.
Sememangnya, mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.
Dahaga bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat, terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan airhingga satu peringkat tertentu.
Paras garam akan meningkat apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.
Bagaimanapun, cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan. Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.
Air adalah unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus airdan 55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk, pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.
Kandungan air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82 peratus kandungan darah membabitkan air.
Badan mengalami kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis, peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu atau dua gelas airyang hilang melalui pernafasan.
Ini sebabnya pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada airminuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Berapa banyak air yang kita perlukan?
Secara umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas airatau satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air melalui peluh.
Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan. Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.
Jika terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air, iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.
Mereka yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minumbanyak air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.
Masalah retensi air atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan pembuangan air berlebihan.
Oleh kerana kebanyakan zat makanan larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing. Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.
Sebenarnya ramai mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa airyang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul membentuk batu karang.
Tanpa air yang cukup juga, nutrien daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah. Paling malang, jika kekurangan airmeningkatkan paras bahan toksik hingga membahayakan nyawa.
Kesan kekurangan cecair
Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:
Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
Tekanan darah menurun
Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
Lesu pada waktu siang
Sakit belakang
Dehidrasi
Sakit kepala
Memperlahankan kadar metabolisma
Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
Sendi dan otot mengalami kekeringan
Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
Meningkatkan keinginan untuk makan
Darah menjadi pekat
Mudah keliru.
Degupan jantung meningkat
Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan

Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

 "Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)
 "Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.)

 -Berpesan-pesan sesama insan-

Menghina orang lain seperti caci diri sendiri



RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat." (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Melakukan perbuatan seperti memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh kemampuan orang lain, memanggil orang lain dengan gelaran yang tidak baik, memalukan orang, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan kepada orang lain dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.

Sesiapa yang mencaci orang lain dengan perkataan-perkataan yang buruk seumpama dia mencaci dirinya sendiri.

Sebaik-baiknya sebagai umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong tanpa mengira agama dan keturunan orang yang ingin dibantu.

Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan itu sekalipun seseorang yang dicela memang melakukan dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu sudah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah.

Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia [BHarian 2010/01/05]



Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

 "Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105) 
 "Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.) 

 -Berpesan-pesan sesama insan-

Wanita bercerai perlu mahir urus emosi

Wanita yang menempuh perceraian dikatakan lebih merasakan tempias atau kesan mendalam lantas mereka disaran memberi fokus terhadap perkara penting terutama bijak mengurus tekanan emosi.

Ketua Psikiatrik Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Husin Habil mengakui banyak aspek perlu ditangani secara berhemah oleh wanita bercerai terutama yang membabitkan masalah perundangan, kewangan serta perkara lain berkaitan.

"Masalah di awal perceraian tentunya banyak membabitkan aspek penjagaan anak, harta sepencarian dan tekanan berkaitan psikologi mangsa perceraian itu sendiri sama ada wanita atau anak mereka.

"Ramai wanita yang kurang peka dengan hak dan undang-undang berkaitan kekeluargaan bukan kerana tidak berpendidikan, tetapi mungkin tidak tahu bagaimana menguruskannya secara profesional.

"Kelewatan menyelesaikan masalah berkaitan menyebabkan gangguan terhadap diri wanita itu sendiri dan anak-anak.

"Jika dia bekerja, mungkin prestasinya menurun dan jika dia tidak bekerja, ia mungkin memberi lebih tekanan kepada emosi sendiri serta anak-anak," katanya yang mahukan kerajaan lebih praktikal dalam menangani isu berkenaan.

Beliau akur orang ramai lebih suka menuding jari kepada wanita bercerai sedangkan perkara itu langsung tidak membawa penyelesaian muktamad.

Menurutnya, ada wanita yang tidak tahu hendak mendapatkan bantuan agensi tertentu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Justeru, beliau turut mencadangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi 'tunjuk arah' supaya lebih ramai wanita yang menghadapi masalah perceraian boleh mendapatkan khidmat bagi mengurangkan beban.

"Wanita bercerai atau ibu tunggal tidak seharusnya dibebankan dengan pelbagai prosedur ketika memohon bantuan.

"Masalah berkaitan nafkah atau kes penjagaan anak yang berlarutan tanpa penyelesaian perlu dirungkai segera dan tidak memakan masa lama kerana semua ini memberi kesan emosi atau kesan sampingan lain yang bukan sedikit kepada mangsa," katanya.

Perceraian membabitkan pasangan muda, katanya, amat tinggi di Malaysia berbanding dengan negara barat yang disifatkan lebih 'mesra rakyat.'

Dr Husin mengakui di negara maju, aspek penjagaan terhadap golongan wanita bercerai dan anak-anak mangsa diberi tumpuan.

Baginya, masyarakat khususnya golongan dewasa sepatutnya mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif tanpa mengganggu proses tumbesaran anak-anak.

Untuk itu, katanya, mereka perlu terus diberi penjagaan dan perlindungan sewajarnya tanpa sebarang pengabaian, keganasan serta eksploitasi yang boleh merencatkan perkembangan mental dan fizikal mereka.

Walaupun berlaku perceraian, hak mutlak anak-anak juga tidak seharusnya terabai.

Antara langkah yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah berkenaan, katanya, kerajaan boleh mengadakan pusat jagaan yang bukan hanya memberi perhatian terhadap ibu tetapi turut mengambil berat terhadap segala urusan anak-anak termasuk pembelajaran dan kesihatan mental.

Beliau berkata, mangsa cerai yang mempunyai anak lebih daripada seorang lazimnya lebih merasakan keperluan untuk mendapatkan bantuan bagi meringankan beban.

"Pada peringkat awal perpisahan, kejutan yang berlaku memberi kesan bukan hanya kepada ibu bahkan anak-anak.

"Oleh itu, pihak berkaitan termasuk kementerian perlu memperlengkapkan lagi laman web atau talian khidmat yang bersifat lebih mesra kepada wanita bermasalah supaya ia dapat memberi kesan langsung kepada kumpulan sasaran," katanya.



Dalam sepotong ayat dan hadis ada menerangkan:

 "Sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman dengan ayat-ayat Allah dan merekalah pembohong-pembohong." (An-Nahl ayat 105)
 "Barangsiapa mengatakan dariku apa yang aku tidak katakan, maka hendaklah Ia bersedia mengambil tempatnya dari Neraka."(HR: Az-Zahabi dlm Al-Kabair.) 

 -Berpesan-pesan sesama insan-